Keberangkatan D.Y.T.M Tuanku Raja Muda Selangor ke PBS
- Details
- Hits: 330
POLITEKNIK BANTING SELANGOR (PBS) MERAFAK SEMBAH
DAN
MENGALU-ALU KEBERANGKATAN
DULI YANG TERAMAT MULIA RAJA MUDA SELANGOR
TENGKU AMIR SHAH IBNI SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ
26 SEPTEMBER 2023
D.Y.T.M Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Politeknik Banting Selangor (PBS) pada hari ini 26 September 2023 (Selasa). Keberangkatan tiba Tuanku disambut oleh Orang Besar Daerah Kuala Langat, Y.D.M. Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat Tengku Dato’ Mohamed Alhaj Bin Tengku Harun bersama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Mohd Zahari Bin Ismail dan Pengarah Politeknik Banting Selangor, Ts. Zainah Binti Rujihan.
Keberangkatan D.Y.T.M Tuanku Raja Muda Selangor ke PBS adalah untuk memperkenalkan PBS sebagai satu-satunya politeknik di Malaysia yang menawarkan program Diploma Kejuruteraan Penyenggaran Pesawat (DAM). Program dimulakan dengan sesi taklimat ringkas oleh Pengarah PBS, lawatan ke pesawat Boeing 737-400, sesi penyerahan cenderahati dan disudahi dengan sesi bergambar. D.Y.T.M Raja Muda Selangor juga telah perkenan melaksanakan sesi demonstrasi pemasangan rivet serta disaksikan oleh tetamu yang hadir.
Turut hadir adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Pegawai Daerah Kuala Langat, Ketua Polis Daerah Kuala Langat serta wakil-wakil, Pengarah-pengarah Bahagian, Pengarah-pengarah dan wakil-wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Rakan Industri Strategik PBS juga turut dijemput hadir bersama dalam majlis ini seperti Invest Selangor, MAB Engineering Services Sdn Bhd, Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd, SME Aerospace Sdn Bhd, Toyota Assembly Services Sdn Bhd dan Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) Sdn. Bhd.
PBS menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku berangkat bercemar duli ke PBS untuk beramah mesra bersama warga PBS dan para tetamu pada hari ini. Sesungguhnya keberangkatan Tuanku ke PBS amat disanjung tinggi dan warga PBS amat menghargainya. Terima kasih dan penghargaan juga kepada pihak Yayasan Raja Muda Selangor kerana telah membantu dalam menjayakan sesi ringkas ini bersama D.Y.T.M Raja Muda Selangor ke PBS. Terima kasih kepada Orang Besar Daerah Kuala Langat Y.D.M. Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Kuala Langat,Tengku Dato’ Mohamed Alhaj Bin Tengku Harun kerana sudi hadir dan juga kepada semua pihak yang terlibat serta tetamu yang hadir memeriahkan majlis pada hari ini.